September 30, 2025
3, 2, 1 Cinta
Dari trailer dan poster pun aku dah begang dengan filem ni. Nisbah perempuan dengan lelaki ialah 37:1? Ini palsu sepalsu-palsunya. Jumlah penduduk perempuan dan laki-laki di Malaysia hampir sama, dan sebenarnya laki-laki banyak yang sket. (Dulu aku pernah mendengar 9:1 la, 12:1 la - lagi membuktikan ia kelentong semata-mata.) Yang buat aku geram ialah, "factoid" ini sering digunakan sebagai pembenaran bagi lelaki yang seksis menganiaya kaum wanita, mis. kes cerai, poligami, kahwin lari, ibu tunggal, dan lain-lain. Sebab diorang ingat banyak perempuan, boleh pakaibuang dan cari yang baru. Dahlah filem Melayu sering dicemar gejala misoginisme, sekarang tengok filem ni pulak, aku dah sedia mengasah pisau menunggunya.
Okey, filem ni taklah misoginis sangat. Ia hanya filem yang bangang.
Sam (Diana Amir) seorang tomboi yang baru sahaja memasuki kolej baru. Dia bertemu kawan lamanya Fariz (Pierre Andre), yang juga digelar "Ayam" kerana sudah empat kali mengulangi kursusnya - dan Sam juga jatuh hati dengan Nazril (Farid Kamil), seorang pelajar yang merupakan jejaka idaman semua pelajar-pelajar perempuan di kolej. Hubungan Sam dengan keluarga tirinya juga dingin, meskipun ayah tiri (Mustapha Kamal) dan adik tiri bernama Mimi (Faith Zakie) sering kali bermesra dengannya. Sam cuba sedaya upaya untuk menarik perhatian Nazril, tapi segala usahanya gagal - namun lama kelamaan, Nazril dan Sam mula berkenalan dengan lebih rapat. Tapi di dalam itu, Farizlah yang sudah lama jatuh cinta dengan Sam.
Kebetulan, ini adalah filem keempat berturut-turut yang saya tonton dimana jalan ceritanya mencantumkan dua atau lebih filem lain. 3, 2, 1 Cinta meng-ripoff-kan filem komedi cinta remaja 10 Things I Hate About You serta Pretty in Pink, dan saya yakin pengarang (atau pengarang-pengarang) skripnya cukup kenal dengan kedua-dua filem Hollywood tersebut. Malangnya, saya juga yakin bahawa pengarahnya Azhari Zain tak pernah mendengar pun dua filem itu. Watak dua adik-beradik, satu tomboi satu bimbo, diambil dari 10 Hal; kisah gadis yang tertarik pada seorang atlet tapi dicintai kawannya yang nerd pula datang dari Pretty in Pink. Kedua-dua premis ini diceritakan dengan bijak, matang dan menyayat hati dalam filem-filem asal - tapi dibuat oleh Tuan Pengarah Azhari disini langsung tiada ciri-ciri itu.
Si Sam ni, yang nama sebenarnya Siti Aishah Mohamad - dia ni heroine ke? Kita harus simpatik terhadap dia ke? Cara dia cuba mengorat Nazril adalah seperti seorang penguntit yang psikotik. Babak ini macam filem Fatal Attraction versi komedi; aku menantikan kemunculan arnab peliharaan Nazril yang bakal menjadi rebus. Sam ni, tak sedar sama sekali betapa malunya dibuatnya; dia ni bukan tomboi, dia ni gadis yang mengalami gangguan mental dan emosi yang serius. Selain itu, dia ada ayah tiri dan adik tiri yang penyayang dan sabar, tapi dia langsung tak menghormati mereka. Lebih-lebih lagi Fariz, penjuru ketiga dalam cinta tigasegi ini. Dari mula lagi dia mencintai Sam, tapi Sam seorang je yang tak terlihat. Protip: sebuah cerita dimana watak memakan waktu 90 menit untuk menyedari sesuatu yang sudah jelas kepada audiens, bukannya cerita yang berkesan.
Tapi yang mengganggu bukan watak Sam ini, sebenarnya adalah Azhari. Dia mengarahkan cerita ini seolah-olah tujuannya adalah untuk memperli dan menyindir gadis tomboi, seperti mana yang berlaku pada Sam dalam adegan yang sungguh kejam dan sadis. (Dua adegan pulak tu.) Inilah sifat misoginis yang memang ada dalam filem ini, tapi saya tak pasti samada ia sengaja atau Azhari hanya seorang yang bengap tentang komedi. Nazril seorang yang baik hati; walaupun dia dikelilingi peminat perempuan, tapi dia pentingkan pelajaran serta sangat menyayangi adik-adik angkatnya. Tapi babak yang menjelaskan backstory-nya tiba-tiba mendatangkan nada tragis yang janggal dalam cerita yang selama ini komedi ringan.
Sebenarnya saya agak suka dengan skripnya (hasil dari Panel MIG yang infamous; seburuk-buruk mereka menulis, adakala berjaya juga), kebanyakannya karena watak-watak yang baik hati dan mudah disenangi. (Yakni sesiapa yang bukan Sam.) Ini yang sepatutnya ditekankan dalam cerita ini; saya nak watak Mimi yang pada luarannya bimbo tapi ambil berat tentang kakak tirinya dibangunkan lagi. (Tambahan pula, Faith Zakie amat cun.) Saya tak nak mengkritik barisan pelakon yang semuanya berbakat, khususnya Farid Kamil yang selama ini saya tak minat, tapi kali ini dia berjaya membawa watak yang tak douchebag macam peranannya yang biasa. Jelas sekali Tuan Pengarah Azhari yang menyuruh mereka semua berlakon secara berlebihan dan mengganggu.
Saya syaki filem ini dipengaruhi anasir-anasir yang ingin menyampaikan mesej agar gadis muda dicegah menjadi tomboi. Sebab mesej inilah filem 3, 2, 1 Cinta rosak, karena ia sepatutnya kisah lelaki yang mencintai seorang perempuan bagi dirinya yang sebenar. Kisah cinta ini tidak menjadi, dan mesej anti-tomboynya pun tak bergigi, menjadi sebuah filem yang gagal sama sekali. Azhari dan Panel MIG memang tak mampu nak bikin 10 Things I Hate About You atau Pretty in Pink versi Melayu, sebab mereka tidak mempunyai kemahiran, biarkan dan kesensitifan yang perlu.
0 komentar:
Posting Komentar